jump to navigation

Mukaddimah : Ilmu Tarannum Februari 5, 2008

Posted by alhawa in Mukaddimah.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
trackback

            Al-Quran merupakan mukjizat maknawi yang masih kekal hingga ke hari ini dan akan terus kekal hingga ke akhir zaman. Membacanya merupakan ibadah dan mempelajari atau mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik perbuatan manusia. Lantaran itu, memperkemaskan dan memperindahkan Al-Quran pula merupakan perbuatan yang sangat baik bagi menampakkan kemukjizatan Al-Quran dengan lebih terserlah. Ia boleh dikatakan sebagai syiar Islam.

            Walau bagaimanapun, terdapat beberapa halangan yang berbentuk mentaliti dan kaedah yang terlalu konservatif sehingga mempelajari Al-Quran dilihat sebagai satu Ilmu Pengetahuan yang agak susah. Persoalannya dimanakah susahnya pelajaran Al-Quran itu? Adakah pada sebutan bahasa Arab? atau pada hukum Tajwid? ataupun pada seni lagunya sendiri?

            Apa yang pasti Al-Quran hanyalah dapat dihampiri oleh mereka yang suci. Suci zahirnya dengan berwuduk dan suci hatinya dengan ikhlas membaca Al-Quran dengan niat mencari keredhaan Allah. Seandainya Al-Quran didekati dengan jasad dan hati yang suci, tiada lagi kesusahan yang selama ini menimpa pemikiran dan kejiwaan para pembaca Al-Quran. Maka persediaan awal bagi mereka yang ingin mempelajari apa sahaja ilmu berkaitan Al-Quran ; berwuduklah dan tetapkan niat di dalam hati. Percayalah, pelajaran Al-Quran akan menjadi satu ilmu yang mudah dan mampu menyampaikan diri kita ke arah penghayatan mukjizat Al-Quran itu sendiri.

            Sesungguhnya setiap orang Islam tidak harus dibeza-bezakan di dalam menyampaikan ilmu Al-Quran ini. Para guru seharusnya mengikuti kehendak semasa dengan tidak terlalu terikat dengan doktrin dan method yang menjauhkan murid daripada guru itu sendiri. Atas sebab itulah, penulis melihat sesuatu harus dilakukan agar masyarakat Islam daripada golongan awam berpeluang menghayati Al-Quran daripada aspek seni lagu supaya dapat pula menimbulkan minat mengamalkan isi Al-Quran itu sendiri. Rentetan itu, maka lahirkan kaedah Dian ini yang mengutamakan prinsip ‘Belajar Sehingga Pandai’ bagi setiap murid-muridnya.

            Kaedah Dian ini sebenarnya muncul secara kebetulan setelah penulis mengkaji bagaimana kaedah Tausikh dan kaedah Tradisonal boleh digabungkan dan diselaraskan mengikut kehendak semasa. Setelah proses percubaan selama bertahun-tahun ke atas pelajaran Berzanji berjaya (satu lagu berzanji hanya memerlukan kurang 2 jam proses pembelajaran) ke atas golongan yang belum pernah mempelajari Berzanji, penulis telah mencuba menggunakan kaedah ini ke atas para pelajarnya di Kolej Kemahiran Belia Nasional Pontian yang mengikuti kelas Tarannum di surau kolej dan hasilnya ; berjaya 99 peratus.

            Perlulah diketahui bahawa Kaedah Dian merupakan kaedah yang meletakkan Tarannum sebagai asas pembelajarannya sedangkan bagi kaedah mudah mempelajari Tajwid pula, penulis sedang merangka satu kaedah lain yang dinamakan sebagai Kaedah Aslan. Penulis sangat berharap kepada pembaca sekalian agar menganggap kaedah ini hanyalah pilihan dan pembaca sekalian tentunya mempunyai pelbagai sebab dan alasan untuk menerima kaedah ini atau memilih kaedah lain yang lebih berkesesuaian. Apa yang penting di dalam pembelajaran Al-Quran adalah ‘Dapat membaca dengan bacaan yang terbaik, mampu dizahirkan’. Bagaimana caranya terpulang pada diri masing-masing.

            Sebagai penutup mukaddimah ini, penulis percaya bakal menerima reaksi pelbagai namun itu adalah perkara biasa di dalam hidup penulis dan reaksi positif dan negatif adalah asam garam bagi mereka yang cuba membuat perubahan yang bertentangan dengan arus semasa, apatahlagi kaedah ini disusun oleh anak muda yang masih banyak kekurangan. Kaedah ini pada asalnya direka hanyalah buat rakan-rakan penulis yang tercari-cari satu bentuk jalan yang lebih ringkas ke arah penguasaan ilmu lagu Al-Quran. Namun melihatkan kehendak semasa yang turut dahagakan ilmu pengetahuan berkenaan lagu Al-Quran; penulis akhirnya mendapat taufiq daripada Allah agar membuka rahsia yang selama ini tersimpan di dada agar dipersembahkan kepada para pembaca sekalian.

Wa-bIllahil-Hidayah wat-Taufiq. Wassalamualaikum.

“Ajarlah aku kerana aku ini masih jahil. Bantulah aku kerana aku ini masih lemah. Tunjukilah aku kerana aku kekadang keliru. Dan aku tidak meminta ini semua kepada kalian pembaca. Yang aku pinta semua ini hanyalah kepada Allah.Tuhan kita semua. Perkenankanlah Ya Allah”

Komen-komen»

1. Shahrul Nazrin Sabri - Mac 17, 2011

assalamualaikum…..apa yang sahabat tulis amat-amatlah berguna bagi ‘ana’ sendiri dan orang lain yang ingin mempelajari serta mendalami ilmu al-quran ini….’ana’ sarankan kepada sahabat supaya terus sebarkan perkara yang berkaitan dengan ilmu al–quran itu sendiri…wallahu a’lam


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: